« SUBORDINATION vs INSUBORDINATION | Main | HAI..EPOLET MERAH, VIGIL & AHLI BERSEKUTU »

PRIORITY & SACRIFICE

Ini lagi satu masalah dalam Pengakap di Sabah ni...kebanyakan ahli Pengakap seakan tidak tahu membezakan antara perkara yang Mustahak, Penting, Kurang Penting dan Tidak Perlu.

Apa tujuan kita berpengakap? Memang sudah digariskan bahawa Berpengakap adalah FUN..WITH A PURPOSE..Bukan sekadar enjoy dan bersukaria kosong semata-mata.

Ada yang mendakwa berjiwa Pengakap (unit terserah laa..mana-mana unit) tetapi benarkah mereka menghayati cara hidup Pengakap sebenar? Ada yang menamakan diri mereka sempena pangkal nama Pengasas Pengakap (maaf jika ada yang tersinggung, tapi perkara ini perlu dijelaskan, jangan nanti Pengakap bakal menampakkan kejahilan dan kurang ilmu mereka)..tetapi tahukah mereka ini apa kepentingan dan maksud hatta nama penuh pengasas kita sendiri ataupun cara menyebutnya? Jangan main ambil tangkap muat sahaja untuk menunjukkan yang kita bersemangat serta menyokong sesuatu atau seseorang. Perhati dan selidikilah terlebih dahulu boleh atau tidaknya kita menggunakan sesuatu itu tanpa menyinggung mana-mana pihak. Manalah tahu ada sesetengah perkataan hanya khusus untuk golongan tertentu yang mana sekiranya digunakan oleh orang lain, akan menyinggung mereka ini. Kalau diturutkan hati, saya pun mahu sedemikian kerana saya sendiri sudah berpengakap sebelum saya bersekolah lagi, kemudian menjadi Pengakap Kanak-kanak di St. Agnes, Pengakap Muda dan Remaja di SBPS (sekarang SMESH), Pengakap Kelana di KLKM dan Ibupejabat Sabah, Penolong Pemimpin dan Pemimpin di SBPS, Pesuruhjaya Ibupejabat Negeri hinggalah sekarang Penolong Pesuruhjaya Negeri. "I've tasted joy and tears in all levels of Scouting..and I am still around.." Jadi saya rasa semangat berpengakap yang saya ada tidak jauh kurang daripada mereka yang saya sebutkan di atas.

Saya agak terkilan dan merasa jauh hati di atas sikap sesetengah ahli Pengakap yang pada pandangan saya tertutup minda kepengakapannya dan tidak tahu menentukan 'priority' mengikut tahap Pengakapan mereka. Bukannya apa, saya berhempas pulas selama setahun merangka dan menyediakan program serta mencipta peluang untuk para pemimpin memajukan diri serta mendapat pengiktirafan, tetapi kesempatan ini telah disia-siakan oleh segelintir pemimpin muda yang saya harap dapat memanfaatkannya. Soalan yang ingin saya utarakan ialah, mana yang lebih penting? Aktiviti yang boleh dianjurkan pada bila-bila masa oleh sesiapa saja, ataupun peluang mendapat pengiktirafan yang hanya boleh dianjur oleh peringkat yang tertinggi dalam negeri dan mungkin bagi kali yang terakhir? Saya tahu tidak salah bagi pemimpin memilih jalan sendiri tetapi apabila sudah mula memperkatakan (walaupun secara bergurau) tentang kebaikan yang itu berbanding ini; rugi tidak ikut itu dan ini; ianya bagaikan satu tamparan bisa tepat ke muka orang yang benar-benar ingin membantu. Seakan keikhlasan untuk membantu diremehkan dan ada perkara yang didakwa lebih baik daripada itu.

Cuba kita renungkan senario berikut : (penglibatan unit Pengakap)

PENGAKAP KANAK-KANAK - 60% Bersukaria, 40 % mengalihkan tenaga berlebihan ke arah sesuatu yang positif.

PENGAKAP MUDA - 50% Bersukaria, 50 % latihan kemahiran asas dalam Pengakap dan kehidupan.

PENGAKAP REMAJA - 40% Bersukaria, 40 % Latihan dan amali kemahiran lanjutan dalam Pengakap, 20 % Penglibatan dalam masyarakat.

PENGAKAP KELANA - 20% Bersukaria, 20 % latihan kemahiran tertinggi dalam Pengakap dan kehidupan, 30 % Menyumbang kepada pergerakan Pengakap dan masyarakat, 30 % latihan asas kepimpinan dalam Pengakap.

PEMIMPIN - 10 % Masa sukaria berkala, 50 % Sokongan kepada unit Pengakap, 40 % latihan lanjutan dalam kepemimpinan Pengakap.

PESURUHJAYA - 10 % Masa sukaria berkala, 10 % sokongan kepada Pemimpin, 25 % Latihan peringkat tertinggi dalam kepemimpinan Pengakap, 25 % latihan kepakaran, 30 % pengurusan dan pentadbiran.

Jadi, sekiranya anda faham maksud pembahagian di atas...secara sendirinya anda akan dapat menghuraikan apa sebenarnya tujuan dan untuk siapa anda Berpengakap.

Di peringkat awal, memang kita Berpengakap untuk diri kita sendiri...tetapi apabila anda sudah mencapai peringkat Kelana, anda sudah menjadi tulang belakang kepada kepemimpinan dan Berpengakap untuk diri sendiri sudah menjadi perkara kedua dalam susunan keutamaan (priority list). Perkara yang utama ialah Berpengakap untuk ahli Pengakap terutamanya unit yang letaknya di bawah daripada unit anda. Apatah lagi sekiranya anda sudah memegang jawatan.

Memang diakui seseorang menyertai Berpengakap atas dasar minat dan sekiranya aktiviti yang ditawarkan sudah kurang menarik minat anda dan oleh itu, tujuan anda menyertai pergerakan ini sudah mulai kabur kedudukannya. Jadi anda berhak untuk memilih aktiviti yang memenuhi citarasa anda. Tetapi pernahkah anda terfikir dilema serta cabaran yang dihadapi oleh golongan yang menganjur dan memimpin? Adakah anda bebas daripada tuntutan memenuhi tanggungjawab untuk melapisi serta menggantikan barisan kepimpinan yang sedia ada? Adakah anda ingin menjadikan kami golongan Pesuruhjaya ini sebagai penganjur hingga ke usia tua tanpa ada pengganti? Itulah hakikat pahit yang terjadi dalam pergerakan kita pada hari ini. Pemimpin tertinggi enggan mengiktiraf Pemimpin yang muda untuk menggantikan tempat mereka. Manakala Pemimpin yang muda lebih gemar pada aktiviti bersuka-sukaan tanpa memikirkan kepentingan untuk memajukan diri, kemahiran serta pengiktirafan mereka sendiri.

Perkara utama yang dilatih dalam Kepimpinan Pengakap ialah

1) Menetukan susunan keutamaan (priority listing)

2) Pengorbanan (Sacrifice)

Apa yang dikorbankan? Masa, wang ringgit dan tenaga. Itu memang diketahui umum. Tetapi yang kadangkala dilupakan oleh Kelana dan Pemimpin ialah masa beraktiviti dan bersukaria. Untuk menjadi Kelana bukan semudah menganjur atau mengikuti sesuatu program yang menarik minat anda. Kelana yang masih mengutamakan aktiviti dan membelakangkan latihan kepimpinan bagi saya kurang memahami susunatur kepentingan dalam Kepengakapan mereka. Malah saya berani menyatakan bahawa mereka yang bersikap sedemikian telah gagal Ujian Mengenal Diri (Vigil) ataupun langsung belum mendudukinya. Sebabnya, sekiranya anda telah menghayati Ujian Mengenal Diri dengan sebenar-benarnya, anda pasti tahu serta memperakui tanggungjawab anda kepada Pergerakan Pengakap dan apa yang diharapkan daripada anda oleh Kumpulan, Daerah dan Negeri. Jadi, jangan sewenang-wenangnya mengaku anda berjiwa Kelana sekiranya intipati Kelana itu sendiri belum anda fahami dengan sebenar-benarnya. Sifat mementingkan diri sendiri itu masih menebal dalam jiwa anda. Belum layak untuk diiktiraf sebagai seorang Pengakap Kelana.

Kursus Manikayu IV A baru-baru ini benar-benar telah membuka mata saya terhadap kualiti dan komitmen Kelana dan Pemimpin yang ada sekarang. Sekiranya faktor kewangan menjadi permasalahan utama, penyelesaiannya sentiasa ada. Anda boleh tanya rakan-rakan anda yang telah menyertai kursus tersebut yang menghadapi masalah sama, apa tindakan mereka? Apa kelonggaran yang telah diberikan kepada mereka sehingga mereka mampu untuk menyertai kursus tersebut? Saya telah mempertaruhkan nama baik, kesihatan, sumber malah kedudukan saya DEMI memastikan seramai mungkin Kelana dan Pemimpin dapat menyertai kursus ini bagi mengisi kekosongan barisan pelapis kepimpinan Pengakap Negeri. Ini kerana tidak ramai Pemimpin tertinggi yang ingin turun padang untuk melatih barisan Pemimpin muda sebagai pelapis kerana takut akan pencapaian Pemimpin bawahan yang bakal lebih tinggi daripada mereka sendiri.

Jadi, kepada anda yang telah mensia-siakan peluang yang telah dibuka depan mata anda (untuk makluman, kami dahulu tidak pernah mendapat peluang memajukan diri seperti zaman anda sekarang), bantulah saya menghuraikan dilema yang menimpa saya sekarang ini. Apakah tindakan yang harus saya ambil? Ini kerana sekiranya saya menurutkan rasa amarah serta logik saya, peluang anda untuk memajukan diri serta mendapatkan pengiktirafan kepimpinan anda pada masa hadapan amatlah tipis. Tetapi di sebalik itu, jiwa Pengakap saya menghalang saya daripada berbuat demikian kerana saya perlu mendapatkan penjelasan daripada anda sendiri. Saya tidak wajar menilai anda berdasarkan pandangan saya sendiri.

                            

TrackBack

TrackBack URL for this entry:
http://blogs.www.friendster.com/t/trackback/786414

Listed below are links to weblogs that reference PRIORITY & SACRIFICE:

Comments

Post a comment

Post a comment

Name:

You are currently signed in as .