HAI..EPOLET MERAH, VIGIL & AHLI BERSEKUTU
Pengakap Sabah sedang dalam proses memperbaiki dan memulihkan semula sistem pentadbirannya. Oleh yang demikian, terdapat beberapa perkara/kebiasaan di daerah selama ini yang perlu dirombak semula kembali ke asalnya.
1. UJIAN MENGENAL DIRI PENGAKAP KELANA (Vigil)
Sepanjang tahun ini, saya berkesempatan melawat ke beberapa acara yang diadakan di daerah-daerah dan bahagian seluruh Sabah. Apa yang saya perhatikan ialah terlalu ramai Pengakap Kelana yang mengenakan epolet merah walhal berita hidup matinya kumpulan mereka tidak pernah pun sampai ke negeri. Yang menjadi persoalan di kepala saya ialah, bagaimana mereka melalui ujian serta istiadat yang membolehkan mereka memakai epolet kelana? Ataupun main pakai ikut suka saja. Memang menjadi hasrat negeri untuk menghidupkan semula Unit Pengakap Kelana di seluruh negeri, tetapi bukan atas dasar mengorbankan kualiti serta kelayakan demi untuk mencapai kuantiti. Ianya bermula dengan siapa yang menjalankan vigil di peringkat kumpulan. Kelana adalah merupakan golongan istimewa dalam hierarki Pengakap kerana sifat semulajadi unitnya yang 'versatile'. Ada aktiviti, latihan kemahiran dalam hidup, seni bermasyarakat dan juga latihan kepimpinan. Oleh itu, susunan salasilah amatlah dititikberatkan dalam Pengakap Kelana bagi mengelakkan 'ajaran sesat' yang kian menular di kalangan Kelana sekarang. Salasilah yang dimaksudkan ialah siapa yang menjalankan vigil, invest (tabal) serta siapa pula yang terlebih dahulu menabal golongan penabal baru ini. Unit Kelana adalah terletak di bawah pengawasan terus (direct) oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri kita sejak sekian lama. Beliau hingga ke hari ini masih boleh mengingati nama-nama setiap pemimpin Kelana yang pernah menabalkan Kelana baru (dulu beliau merupakan Setiausaha Pengakap Negeri utk jangkamasa yang lama dan semua fail-fail berkaitan kebanyakannya ditulis oleh beliau sendiri). Jangan nanti sampai terjadi beliau bertanya kepada Kelana sekarang "Siapa menabal kamu? Siapa pula yang menabal penabal kamu itu?" Kalau tidak terjawab, bukankah anda akan malu sendiri seperti yang terjadi di peringkat negeri 2-3 bulan lepas. Jadi, untuk menyeragamkan semula kaedah serta cara menjalankan vigil, Mesyuarat Pesuruhjaya-pesuruhjaya Negeri dan Pasukan Latihan Negeri telah menerima arahan Ketua Pesuruhjaya Negeri berkaitan siapa yang boleh menjalankan vigil. Kemudian, 'waris' daripada mereka ini barulah boleh memulakan salasilah menurunkan pula kepada ahli Kelana baru apabila mereka telah layak kelak. Buat masa ini, di Sabah, hanya Pemimpin berikut yang layak menjalankan vigil dan diiktiraf oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri selain daripada dirinya sendiri.
i) Encik Philip Chin Saw Voon
ii) Encik Mohammad bin Majid
iii)Encik Mohd. Isa Satok
iv) Encik Asim bin Hj. Ag. Yusop
v) Encik Ahmed Tariq Aripen
Kumpulan yang berhasrat untuk menjalankan vigil atau pertabalan Kelana haruslah membuat pemberitahuan kepada pihak negeri agar ada rekod yang boleh kami simpan. Pertabalan boleh dilakukan oleh Pesuruhjaya Daerah HANYA setelah mendapat kuasa daripada Ketua Pesuruhjaya Negeri. Jangan berpandukan kepada buku skim semata-mata kerana kita Pengakap di Sabah mempunyai autonomi dan kuasa tertentu yang dipegang oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri berbeza dengan negeri yang lain.
2. KEAHLIAN AHLI BERSEKUTU PPM
Memang diakui pendaftaran Ahli Bersekutu di peringkat kebangsaan akan memudahkan ahli Pengakap kerana keahlian yang hanya perlu diperbaharui setiap 10 tahun dgn bayaran RM 150.00. Tetapi, berbalik pada soal autonomi Pengakap Sabah di atas, setiap ahli Pengakap haruslah mengajukan permohonan mereka terlebih dahulu kepada Ketua Pesuruhjaya Negeri. (sebaik-baiknya beliau menjadi pencadang kepada pemohon). Ini kerana terdapat segelintir Pemimpin dan ahli Pengakap yang mendaftar secara terus ke PPM dan ini secara langsung menampakkan rasa tidak hormat kepada kepimpinan negeri. Bukan budaya sebegini yang ingin kita pupuk dalam Pengakap. Dalam mesyuarat Pesuruhjaya-pesuruhjaya Negeri awal tahun ini dan dalam Persidangan Pesuruhjaya-pesuruhjaya pada bulan Ogos lalu, Datuk Ketua Pesuruhjaya Negeri telah menegur sikap sebegini dan manamakannya sebagai tindakan 'kurang sihat'. Jadi, sekiranya kepimpinan negeri sudah tidak lagi dipandang, lebih baik buang lencana 'Sabah' pada pakaian seragam dan tubuhkan sebuah negeri baru. Bukannya apa, sekiranya pendaftaran ke PPM tidak diketahui oleh negeri, apabila banci dikeluarkan serta penyertaan untuk sesebuah program ditapis berdasarkan rekod pendaftaran, ahli-ahli yang tersebut di atas meluahkan pulan rasa tidak puas hati kepada negeri kerana nama mereka tidak disenaraikan sebagai ahli berdaftar. Perkara ini telah berlaku di masa lepas dan saya sendiri menjadi saksi serta mangsa luahan tersebut. Jadi, sudah tiba masanya untuk timbang-tara.

Artikel berhubung perkara yang dikemukan di atas memang saya bersetuju sangat. Pasukan kelana kami pun sebelum ini keliru berhubung siapakah yang sebenarnya layak untuk bagi virgil dan menabal epoilet.
Posted by: H4iRuL | January 7, 2008 07:56 PM