SCOUT PERLU ADA 'COMMON-SENSE'
Mukadimah: PELAYAN ROHAYU YANG POYO..
Satu hari, saya bersama beberapa orang Pemimpin Pengakap lepak dan minum di Rohayu (mana Pengakap sekitar KK yg ndak kenal kan..). Bila pelayan dipanggil untuk kami membuat pesanan, saya bertanya, "..Ada sebarang jenis teh dalam tin?". Tanpa syak dan ragu lagi pelayan tersebut menjawab, "Tiada bos, 100 plus jak." Saya yang tidak puas hati lalu pergi sendiri melihat ke peti sejuk restoran, dan saya dapati bukan 1 malah ada 4 jenama teh bertin yang ada tersusun dalam tu. Ada Lipton, Roiboos dan Green Tea.
Di hari yang lain, sekali lagi saya bertanya soalan yang sama, dan cara serta jawapan yang sama saya terima. Saya yang terlebih awal melihat dahulu peti sejuk mereka jadi panas hati kerana pelayan tersebut merupakan orang yang sama..masih tiada perubahan dalam inisiatif bekerja. Ini mengingatkan saya pada satu cerita yang pernah saya baca...
Pada suatu hari di zaman dahulukala, Raja Siam sedang berperahu mudik ke hulu sungai dalam melawat negerinya. Dalam perahu tersebut selain daripada raja, terdapat Perdana Menteri dan 4 orang Pengawal yang sekaligus merangkap tukang dayung perahu. Di pertengahan perjalan mereka, pengawal terlihat raja dan perdana menteri sedang tidur, lalu berkata kepada temannya, "..tengoklah mereka tu, ndak adil pasal dorang sedap-sedap tidur manakala kita berpanas mendayung." Raja yang tidur-tidur ayam terdengar perbualan mereka dan hanya berdiam diri sambil tersenyum.
Tidak lama kemudian, dari tebing sungai terdengar suara-suara rengekan kecil. Raja berkata, "Pengawal, berhenti sekejap, beta mahu kamu beritahu beta suara apakah itu." Pengawal-pengawal pun melabuhkan perahu ke tepian sungai lalu berdiri termangu-mangu. Kata Raja, "Kalau beta kata beta mahu tahu, kamu kenalah pergi melihat ke arah bunyi tersebut, baru kamu boleh menerangkan kepada beta apakah ia." Pengawal yang bercakap tadi pun pergilah melihat, lalu kembali, "suara anak-anak anjing Tuanku." Raja kemudian bertanya, "Berapa ekor semuanya?" Sambil menggaru kepala, pengawal itu pergi semula ke tempat anak-anak anjing tersebut untuk melihat. Apabila kembali ke perahu dia berkata, "Ada empat ekor semuanya Tuanku." Raja bertanya lagi, "Apa warnanya?" Sekali lagi pengawal tersebut terpaksa pergi melihat dan memberitahu Raja jawapannya.
Kemudian Raja mengejutkan Perdana Menteri yang sedang tidur lalu mengarahkannya melihat bunyi apakah itu. Perdana Menteri pun pergi dan apabila kembali dia berkata, "Ada 4 ekor anak anjing yang sedang menangis kelaparan tuanku, dua jantan dua betina dan semuanya berwarna perang." Raja lalu berpaling pada pengawal tadi lalu berkata, "Kamu dengarkan..dalam sekali pergi saja Perdana Menteri mendapatkan maklumat yang serba lengkap berbanding kamu yang terpaksa berulang-alik tiga kali. Itu sebabnya dia merupakan Perdana Menteri manakala kamu hanya pengawal sahaja. Tugasnya untuk berfikir dan tugas kamu untuk bekerja."...
Kenapa saya teringat cerita ini? Ini kerana sebelum itu, ada seorang pelanggan di sebelah meja berkata pada saya yang sedang panas hati, "Kalau dia bijak, tidaklah dia jadi sekadar pelayan yang poyo." Saya terdiam sejenak. Di sebalik kenyataan kejam yang diluahkan itu, terdapat juga kebenarannya. Lalu saya teringat lagi senario yang sama di kalangan budak-budak Pengakap yang pernah ke Rumah BP. Ada juga yang berkelakuan seperti pelayan tadi.
1. Ramai yang berdiri termangu saja di hadapan Pemimpin yang sedang bekerja seorang diri. Tiada pun inisiatif untuk membantu Pemimpin tersebut kalau tidak diarahkan.
2. Apabila ditanya (terutamanya apabila ditanya mengenai benda seperti "cuba kamu tolong tengok adakah cangkul di kawasan asrama BP tu?") mereka pergi dan selalunya kembali dengan mengatakan 'Tiada skip'..walhal mereka tidak pun mencari bersungguh-sungguh..hanya sekadar agar dilihat oleh Pemimpin yang mereka pergi ke tempat yang telah diarahkan, soal mencari tu tidak penting bagi mereka.
Adakah Pengakap kita terlalu tolol dan dungu seperti kisah pengawal tersebut? Saya langsung tidak rasa begitu kerana rata-rata Pengakap yang saya sebutkan berperangai seperti di atas mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.
Apa yang boleh kita ambil iktibar dari sini ialah 3 perkara asas dalam kehidupan:
1. Jangan MALAS menggunakan otak. Kemalasan berfikir dan berinisiatif itulah yang menyebabkan Pengakap kita hari ini nampak seakan 'tidak menghormati Pemimpin yang lebih tua' serta jadi seperti 'pahat' yang hanya boleh berfungsi apabila ditukul.
2. Latih penggunaan 'COMMON-SENSE'..serta keupayaan menentukan apa yang betul, apa yang salah, apa yang patut, apa yang kurang sesuai. Secara langsung, penggunaan common-sense di tahap yang optimum akan membolehkan kita berupaya menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan dengan sesiapa pun.
3. Cakap hanya benda atau perkara yang diketahui. Perbincangan tidak salah dalam Pengakap dan kehidupan. Tapi, sebelum kita mengeluarkan kenyataan yang berupa 'hukuman' atau penilaian, kita harus terlebih dahulu mengetahui dengan mendalam perkara yang hendak kita cakapkan atau luahkan. JANGAN BERCAKAP TANPA ILMU kerana sepandai-pandai kita, sentiasa ada orang yang lebih pandai dan tahu. Jangan menampakkan kebodohan kita dengan berkata atau menerangkan sesuatu yang kita tidak tahu hujung pangkalnya (seperti ... hanya melalui apa yang kita dengar dari orang lain). Sindrom ini banyak terjadi di kalangan Pengakap dan Pemimpin kita kebelakangan ini.
Kalau ketiga-tiga perkara ini kita amalkan, nescaya kita akan dapat mengatasi sedikit demi sedikit masalah disiplin yang terjadi di kalangan ahli Pengakap kita. (Ketiga-tiga perkara ini masih relevan hingga ke hari ini, bukan saja dalam Pengakapan malah dalam kehidupan seharian kita).

Saya seratus peratus Setuju Skip.... Saya pun pernah mengalami dan ianya pun terjadi pada saya... saya pun kebuntuan mcmana mo selesaikan masalah ini...Good move skip, I support it!!!
Posted by: The Pro | December 3, 2007 04:37 AM
wow.... tahniah skip... aku memang perlu team baru untuk teruskan perjuangan ku dalam pengakap.
Posted by: ScorfieLd | April 12, 2008 08:29 AM